Saturday, August 6, 2011

DEMI MASA.....

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaram.” (al-Asr 103: 1~3)
Masa adalah kehidupan. Itulah slogan orang cemerlang. Justeru, setiap malam, tulislah apa yang hendak kita lakukan pada esok hari. Selepas itu, tentukan keutamaan-keutamaannya. Jangan rancang hidup kita mengikut jemputan, tetapi rancanglah menurut keutamaan. Ingatlah kata-kata Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dan Ibn Majah yang bermaksud, “Antara tanda kebaikan Islam seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tidak bermunafaat baginya.”.
Rakan-rakan ahli MPSM semua, sentiasalah kita ingat masa berlalu begitu cepat, tanpa kita sedari sudah hampir seminggu umat Islam mengerjakan ibadah berpuasa.. Semoga kehidupan hari ini dan akan datang memberi banyak manafaat kepada semua. SELAMAT MENGAMALKAN IBADAT BERPUASA..

Wednesday, August 3, 2011

Ucap Utama Pengerusi YGMB untuk Program Guru 1Malaysia

TAN SRI DATO’ HJ. ALIMUDDIN BIN HJ. MOHD. DOM
PENGERUSI YAYASAN GURU MALAYSIA BERHAD (YGMB)
UNTUK PROGRAM GURU 1 MALAYSIA

Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t

Yg. Mulia.  Raja Ariff bin Raja Ali
Ketua Pengarah
Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri.

Y.Bhg. Ustaz Hj. Abdul Jalalul Shahrin
Timbalan Pengarah
Biro Tatanegara Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Y. Berusaha Tn. Hj. Mohd. Adenan bin  Deraman
Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Y. Bhg. Dr. Anurdin bin Abd Ghani
Penceramah Jemputan

Y. Bhg. Dato’ Hj. Zulkifly bin Mohd Wazir
Pengerusi Lembaga Pengarah
YGMB-Konsultansi Sdn Bhd

Pegawai-Pegawai dan Kakitangan
Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t.  kerana dengan limpah kurnia dan izinnya dapat kita berkumpul dalam majlis amat bermakna ini.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yg. Mulia.  Raja Ariff bin Raja Ali dan warga Biro Tatanegara kerana memberi kepercayaan kepada YGMB untuk turut serta menjalankan program pengukuhan profesionalisme seperti ini.  YGMB berharap ini sebagai langkah permulaan yang akan disusuli dengan program-program seperti ini, yang lebih besar selepas ini. 

Tidak lupa juga saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengarah serta warga Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana memberi kerjasama yang erat dalam menjayakan program ini.  YGMB berharap agar kerjasama erat seperti ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang. Sebenarnya YGMB ditubuhkan sememangnya untuk memberi kebajikan kepada warga pendidik seluruh Negara.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, 

Sebenarnya,  program ini dicetuskan dalam suatu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pengurusan YGMB,  atas keperihatinan terhadap perkembangan yang kurang sihat di kalangan warga pendidik dalam menghadapi isu-isu politik semasa.  Sehingga ada di antara mereka terlupa akan peranan sebenar mereka sebagai pendidik dan sebagai penjawat awam; lalu begitu aktif menyertai aktiviti-aktiviti politik dan menyokong pihak pembangkang.

Dengan itu, kami di YGMB mengambil inisiatif menyediakan suatu kertas cadangan untuk dimajukan kepada pihak Biro Tatanegara.  Hasrat kami di YGMB adalah untuk membantu kerajaan memperbaiki “iklim kurang sihat” di kalangan warga pendidik tadi.  Alhamdulillah,  setelah beberapa pusingan berbincang; antara YGMB dan pihak Biro Tatanegara, kertas cadangan tersebut dipersetujui; dan ini adalah program sulung dalam siri program-program yang dicadangkan.  Dengan kerjasama semua pihak, termasuk para peserta sekalian, saya yakin program ini akan berjaya dengan cemerlang.  Tambahan pula para peserta kali ini adalah para pengetua dan guru besar yang mempunyai kehebatan aura kepimpinan dan pengaruh ke atas guru-guru di bawah tanggungjawab masing-masing di sekolah. 

Harapan kami juga, agar para pengetua dan guru besar sekalian dapat menggunakan kebijaksanaan masing-masing untuk menyampaikan segala input yang diperolehi daripada program ini kepada anak-anak buah masing-masing. Fokuskanlah segenap usaha dan ikhtiar untuk mempertingkatkan profesionalisme keguruan; dengan itu membolehkan semua warga pendidik melaksanakan tanggungjawab mendidik anak bangsa dan membangunkan sebuah negara bangsa di tanah air tercinta ini.

Dalam usaha membangunkan negara bangsa, kita perlu menginsafi hakikat bahawa negara kita ini mempunyai sejarah yang panjang dan unik.  Sejarah yang panjang itu, sebenarnya bukan bermula dengan terbangunnya Kerajaan Melayu Melaka.  Lama sebelum itu sebenarnya Bangsa Melayu ini telah mempunyai ketamadunan dan penguasaan wilayah yang jauh lebih luas daripada apa yang terakam dan di batasi oleh bangsa-bangsa penjajah.  Sebenarnya, di mana ada kelompok peribumi penutur Bahasa Melayu, itulah sebenarnya ceruk rantau penguasaan kerajaan dan ketamadunan Melayu yang mengalami jatuh bangun zaman berzaman.   Hakikat ini sebenarnya masih terpendam jauh di dasar sejarah dan sentiasa mencabar para sarjana dan sejarahwan untuk membuat kajian.  Tanggungjawab kitalah yang bernama guru ini untuk mendidik anak bangsa serta menyedarkan bangsa agar segera bingkas bangun daripada lena yang panjang.

Sesungguhnya, bangsa Melayu adalah bangsa pewaris bumi bertuah ini, bangsa yang tidak perlu merempat berhijrah mencari kehidupan di bumi lain.  Hanya apabila bangsa-bangsa penjajah datang, mereka menakluki dan membahagi-bahagikan tanah pusaka ini; sehingga terbentuklah sempadan-sempadan negara seperti yang dapat dilihat sekarang.  Malah, yang lebih menyayat hati ialah sejarah ketamadunan kita yang panjang itu terpadam dan terpendam demi untuk menegakkan penguasaan mereka ke atas bumi kita.

Tuan-tuan dan puan-puan pemimpin kepada para pendidik,

Kita juga tidak patut melupakan bahawa kedatangan Islam ke alam Melayu ini telah memberi nafas baru dalam kesinambungan sejarah Melayu itu sendiri.  Dengan suntikan Islamlah bangsa kita cuba bangun menentang bangsa-bangsa penjajah dan cuba mempertahankan hak yang masih tersisa; sehingga akhirnya mendapat kemerdekaan dalam bentuk terpisah-pisah seperti yang dapat kita saksikan pada hari ini.   Dalam lipatan sejarah yang panjang dan memedihkan di bawah penjajahan, kita dapat menyaksikan tanah air kita yang tercinta ini diteroka dan dipugar semahu-mahunya.  Diundangnya pendatang asing semahu-mahunya untuk dijadikan buruh ladang, pelombong bijih dan pemangkin pertumbuhan ekonomi kapitalis.  Sedangkan bangsa Melayu disisihkan di kampung-kampung tradisi dengan tanah pertanian sekangkang kera untuk sekeluarga bertani sekadar cukup untuk hidup.  Sebahagiannya dibarkan menjadi nelayan perahu kolek pesisir pantai.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati, 

Saya ingin mengimbas kembali episod sejarah negara kita pada zaman penjajahan, ketika orang-orang Melayu miskin dan mundur di kampung-kampung tradisi, orang-orang India di ladang-ladang dan orang-orang Cina di bandar-bandar.  Orang-orang Cina merasa amat beruntung kerana pihak penjajah memberi laluan mudah untuk mereka membangunkan ekonomi mereka.  Sekadar satu contoh, dari seorang pendatang sehelai sepinggang menjadi buruh di sebuah lombong di Sg. Besi, akhirnya dapat mengumpul kekayaan dan mampu membina rumah yang kemudiannya kerajaan kita beli untuk dijadikan Istana Negara, menjelang tarikh kemerdekaan.  Orang-orang India juga merasa beruntung kerana kehidupan mereka di ladang-ladang adalah lebih baik berbanding ketika mereka di negara asal.  Kepada mereka, penjajah memberi seribu rahmat; dengan itu apa perlunya melawan penjajah untuk mendapatkan Kemerdekaan ?

Manakala orang-orang Melayu pula hidup terhimpit atau yang hidup senang sedikit sekadar cukup makan di kampung-kampung tradisi.  Mujurnya orang-orang Melayu ini beragama Islam.  Dengan kekuatan Islam itu mereka sedikit disegani dan diktiraf oleh penjajah.  Raja-Rajanya diberikan kedudukan sebagai Ketua Agama.  Pengambilan mana-mana bahagian wilayah di bawah kekuasaan Raja-Raja Melayu dimetrinya perjanjian dengan Raja negeri berkenaan.  Institusi-institusi agama dibenarkan wujud, termasuk sekolah Agama dan kolej dengan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar.  Fenomena ini membuka ruang untuk para pelajar Melayu mendapat pendidikan alternatif dan melanjutkan pelajaran di Timur Tengah.  Saya bawa perhatian tuan-tuan dan puan-puan ke arah pendidikan alternatif ini, kerana produk sistem pendidikan alternatif inilah yang mula mencetuskan suara kemerdekaan melalui akhbar-akhbar berbahasa Melayu dan bertulisan Jawi.

Apabila semangat kemerdekaan mula membara, pejuang-pejuang kemerdekaan sudah mula bergerak secara berorganisasi, pihak penjajah menyedari bahawa kebangkitan ini tidak boleh dibendung.  Maka dipaksakannyalah kita menerima kehadiran bangsa-bangsa pendatang ini sebagai warganegara, jika mahukan kemerdekaan. Dengan sikap mudah bertolak ansur dan pemurahnya pemimpin-pemimpin Melayu ketika itu, diajaknyalah pemimpin-pemimpin Cina dan India menubuhkan parti politik masing-masing dan bergabung dalam Perikatan. Sebagai mengimbangi kesediaan orang Melayu menerima kehadiran bangsa-bangsa pendatang ini sebagai warganegara, dimaktubkanlah beberapa peruntukan yang menyentuh Agama Islam sebagai Agama Persekutuan,  kedudukan Raja-Raja Melayu dan keistimewaan orang-orang Melayu, dalam Perlembagaan Negara. Masa terus berlalu, sepanjang zaman pascakemerdekaan, isu yang paling penting dan sangat perlu dipelihara ialah perpaduan kaum.  Inilah yang mendorong YAB Perdana Menteri kita melancarkan slogan “1 Malaysia”. 
Dalam usaha merealisasikan konsep “1 Malaysia” dan dasar-dasar kerajaan yang lain juga, kakitangan kerajaanlah yang mesti mendokong dan melaksanakannya secara jujur, ikhlas, bersungguh-sungguh dan kreatif.  Sebelum mengorak langkah mengatur strategi dan bertindak, mestilah dipastikan dahulu bahawa kakitangan kerajaan ini berdiri teguh dalam satu barisan dan menumpukan segala usaha difokuskan ke satu matlamat yang jelas.  

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Ketika ini kita sedang melalui proses Transformasi Pendidikan Negara melalui sub-sub NKRA Pra Sekolah, Linus, SBT dan Baiah. Dalam usaha mencapai transformasi tersebut, peranan kepimpinan pendidikan AMAT penting dan harus crucial atau signifikan. Menurut buku Leon Martell “ seorang pemimpin mesti bersikap menerajui atau menjuarai perubahan”. Pemimpin pendidikan mesti menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran baru. Justeru itu, kepimpinan pendidikan mesti berada di barisan hadapan bersama-sama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia, YAB Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Bagi mestikan kejayaan agenda transformasi Negara tersebut kita tidak boleh bersikap pesimis atau negatif tambahan pula dengan menentang kerajaan. Agenda transformasi tersebut adalah untuk memastikan survival agama, bangsa dan Negara. Ini kerana kita tidak boleh hilang perspektif bangsa-bangsa atau kaum-kaum lain. Tetapi malangnya bangsa kita selalu hilang perspektif. Sebagai contoh, kita Nampak pokok dalam hutan tapi tak nampak hutan. Ini akan merugikan kesinambungan dan survival agama bangsa kita. Jangan jadi seperti peumpamaan seperti marahkan nyamuk, kelambu pula yang dibakar, jangan nanti nasi sudah menjadi bubur, kita juga yang akan rugi.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Di sini ingin saya gariskan beberapa prinsip  kerja X_Plus yang biasanya Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) gunakan iaitu X – Excellent, P-Pengetahuan, L-Latihan, U-Usaha dan S-Semangat. Pendidik mempunyai peranan yang besar dalam perjuangan kemerdekaan Negara tetapi hari ini dalam pengisian kemeerdekaan dan merealisasikan wawasan Negara maju. Tetapi persoalannya dimanakah pendidik kita  atau guru-guru kita, pemimpin pendidikan harus bertanya, kemanakah perginya patriotism atau semangat juang dan komitmen para pendidik. Contohnya adakah mereka bersama agenda transformasi Negara dalam menjayakan program-program pendidikan atau mereka berada dipinggiran. Sebagai contoh, baru-baru ini Negara kita digemparkan dengan satu perhimpunan pihak pembangkang iaitu perhimpunan BERSIH 2.0, yang mana, perjuangan tersebut dengan jelasnya merupakan satu perjuangan yang sempit yang akan merugikan agama, bangsa dan Negara kita.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Pada tahun 2020, Insyaallah Malaysia akan menjadi sebuah NEGARA MAJU. di mana anak bangsa kita akan berada dengan pelbagai kekurangan ilmu, kemahiran dan penguasaan bahasa yang kurang, jika ingin dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain sekiranya kita masih tidak sedar. Justeru itu, kepimpinan pendidikan kaum juga haruslah membangun bersama. Sebagai pemimpin lihatlah sesuatu itu dengan lebih kritikal dan perlulah melihat pada satu jangka masa yang panjang. Jika KUASA sudah tidak ditangan kita , TIDAK ADA GUNANYA semua ini dan kita akan menjadi HAMBA di negara kita sendiri.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, berbalik kita kepada konsep nilai-nilai Islam dalam Gagasan 1 Malaysia. Sebenarnya, dalam Islam, ibadat solat itu sendiri mengajar kita bagaimana hendak mengatur kerja secara berjemaah, seramai manapun jemaahnya tetap dengan satu imam, satu kiblat dan satu niat.  Jemaahnya dituntut berdiri tegak, rapat-rapat dalam barisan saf-saf.  Sesungguhnya kesempurnaan pahala solat berjemaah itu, ditentukan oleh kesempurnaan saf-saf tadi. 

Saudara-saudari sekalian, mari kita ambil iktibar ini, untuk sama-sama diamalkan dalam mengatur kerja.   Kembali kepada tanggungjawab membangunkan negara bangsa yang telah disebutkan tadi. Allah Yarham Tun Abdul Razak, bapa pembangunan negara kita, telah menggariskan bahawa Negara Bangsa Malaysia hendaklah berteraskan kepada Bangsa Melayu.  Untuk melaksanakan gerak kerja membangunkan negara bangsa berteraskan Bangsa Melayu ini, kita sebenarnya perlu kepada  1 kepemimpinan; iaitu 1 kerajaan yang kuat dan stabil.  Ingat, apa juga bentuk dokumen berkait dengan perlindungan hak orang Melayu dan peribumi lainnya, dasar membangunkan negara bangsa dan apa juga dasar lainnya, hanya tinggal atas kertas dan tidak memberi apa-apa makna, jika tidak diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan gerak kerja.  Tindakan dan gerak kerja itu pula tidak akan dapat dilaksanakan dengan berkesan jika kita tidak mempunyai kerajaan yang kuat dan stabil.

Tuan-tuan dan puan-puan para pemimpin pendidik yang dikasihi, 


Melihat kepada fenomena politik semasa di negara kita, memang banyak suara bantahan dan rungutan terutama oleh parti-parti politik pembangkang. Memang itulah kerja pembangkang dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Lagipun, mustahil bagi kerajaan memuaskan hati semua 27 juta penduduk negara kita.  Walau bagaimanapun, janganlah kita tenggelam punca dan hilang kewarasan dan rasional; lalu menuruti runtunan emosi; cuba mengejar sesuatu yang tidak pasti.  Bimbang,  “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Mana-mana kerajaan di atas muka bumi ini memanglah ada kelemahan dan kesilapan di sana-sini.  Pepatah Melayu kata, “Bumi mana tak ditimpa hujan, lautan mana yang tak bergelora”; tetapi janganlah kerana “marahkan nyamuk, kelambu dibakar”.

Dengan itu, saya ajak tuan-tuan dan puan-puan sekalian bangkit merapatkan barisan, untuk sama-sama membetulkan keadaan.  Yang tergelincir dari landasan perjuangan, kita ajak kembali bersatu mengumpulkan seluruh sumber tenaga dan kekuatan; sama-sama kita fokuskan ke arah menegakkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil.  Jika ada di mana-mana yang carik,  kita lurutkan; di mana-mana yang koyak kita jahitkan; di mana-mana yang bocor, kita tampalkan.

Dalam usaha kita mencari-cari sumber kekuatan dalam perjuangan ini,  jangan lupa belajar daripada lipatan sejarah bahawa bangsa Melayu ini mendapat kekuatan “luar biasa” melalui suntikan Islam ke dalam jasadnya.  Dengan Islam kita bina kemampuan muhasabah diri.  Dengan Islam kita memperbaiki diri.  Dengan Islam kita memperbetulkan hala tuju perjuangan. Dengan Islam kita mengatur strategi dan gerak kerja.  Setelah berusaha sedaya mungkin, sama-sama kita menadah tangan, berdoa kehadrat Ilahi, agar usaha kita diberkati.  

Akhir kata, dengan Islamlah juga, kita mensyukuri nikmat daripada hasil perjuangan.


Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu’alaikum w. b. t.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...