Friday, November 11, 2011

BANTUAN PERSEKOLAHAN RM100


BANTING: Kira-kira 5.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah akan menerima wang bantuan persekolahan RM100 seorang yang sudah disalurkan kepada akaun sekolah masing-masing mulai semalam dan diagihkan secara tunai kepada ibu bapa, penjaga atau murid dalam tempoh 14 hari.

Bayaran berkenaan untuk murid Tahun Satu hingga Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan 2011, manakala bagi Sabah dan Sarawak, selewat-lewatnya minggu depan. Pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu bagi sesi persekolahan 2012 pula menerimanya pada Januari.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan akan menyalurkan peruntukan RM550 juta itu kepada Bank Simpanan Nasional (BSN) dan bank kemudian menyerahkannya kepada pihak sekolah sebelum diagihkan.

“Bagi sekolah yang tiada akaun BSN, mereka bersetuju buka akaun sementara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Bersama Warga Pensyarah dan Pelajar Matrikulasi di Kolej Matrikulasi Selangor di sini, semalam.

Bantuan berkenaan membabitkan sekolah kerajaan, swasta, persendirian dan agama di seluruh negara. Sekolah kebangsaan dan bantuan kerajaan membabitkan 5,061,574 pelajar, sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri (313,373), sekolah persendirian (125,465) serta Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Kolej Tentera (32,238).

Oleh Khairul Azran Hussin

Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...