Friday, October 21, 2011

JANGAN SEMBUNYI JENAYAH PELAJAR


SHAH ALAM 20 Okt. – Usaha membanteras jenayah di kalangan pelajar tidak akan berjaya jika pihak sekolah dan ibu bapa menyembunyikannya dengan tidak membuat laporan polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pihaknya mengetahui perkara tersebut masih berlaku dan kebiasaannya ia dilakukan untuk menjaga nama baik sekolah atau ibu bapa pelajar terlibat.

“Berdasarkan statistik, sehingga September lalu, sebanyak 461 pelajar sekolah di negeri ini ditahan kerana terlibat dalam 257 kes jenayah.

“Namun kita tahu angka yang dicatatkan tidak mewakili semua kejadian jenayah melibatkan pelajar kerana masih ada kes-kes yang disembunyikan atau tidak dilaporkan kepada polis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kelab Pencegahan Jenayah Peringkat Negeri Selangor 2011 di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Majlis yang diadakan dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Selangor, Jabatan Pendidikan negeri dan polis itu dihadiri seramai 260 Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dari sekolah menengah di sekitar negeri ini.

Justeru, Tun Hisan mengingatkan pihak sekolah dan ibu bapa agar tidak menyembunyikan kesalahan jenayah yang dilakukan oleh para pelajar kerana ia menyalahi undang-undang.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar pihak sekolah dan guru-guru mengadakan lebih banyak aktiviti yang memberi pengetahuan kepada para pelajar mengenai pencegahan jenayah tanpa melibatkan wang atau perbelanjaan yang besar.

Jelas beliau, antara langkah yang boleh dilakukan adalah menggalakkan pelajar membuat tanda nama pada semua barangan milik mereka bagi mengelak daripada hilang atau dicuri selain mengadakan aktiviti rondaan cegah jenayah di sekolah.

“Mereka juga boleh bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk mendapatkan golongan profesional seperti peguam, pakar psikologi dan sebagainya bagi mengadakan sesi soal jawab atau kaunseling bersama pelajar secara percuma,” kata beliau.

Oleh AZIAN AZIZ

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...